Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mahu kerani wanita dipenjara enam tahun mulai hari ini dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ini untuk membolehkan wanita itu, Sam Ke Ting, 27, menangguhkan terlebih dahulu hukuman yang dikenakan sehingga permohonannya di dengar di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor hari ini.

Kata Ramkarpal, Ke Ting harus memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan terbabit kepada Mahkamah Rayuan dengan segera.

“Ini kerana dia sudah dibebaskan dua kali sebelum ini oleh majistret yang menunjukkan bahawa terdapat keraguan sama ada dia melakukan kesalahan seperti yang didakwa.

“Pendapat saya, Ke Ting boleh memohon penangguhan pelaksanaan hukumannya sekiranya kebenaran dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuannya,” kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bharu, Datuk Abu Bakar Katar dalam keputusannya terhadap rayuan kes itu memerintahkan responden menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Ketetapan itu juga telah mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

Abu Bakar berkata, mahkamah turut membuat pertimbangan bahawa kesalahan dilakukan responden adalah kes yang tinggi di Johor, dengan statistik menunjukkan kes kemalangan maut antara 2011 hingga 2021 membabitkan sejumlah 10,297 kematian.

Dalam pada itu, Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP turut menawarkan bantuan guaman kepada Ke Ting bagi memfailkan dan mendengar permohonan terbabit untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan.

“Sebenarnya saya juga percaya bahawa majistret membuat pelbagai penemuan fakta yang mengakibatkan pembebasan Ke Ting yang lazimnya tidak diganggu dalam rayuan melainkan didapati sebaliknya,” ujarnya.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL  BERKAITAN:

Langgar mati 8 remaja berbasikal lajak: Kerani dipenjara 6 tahun, denda RM6,000

1 Komen

Comments are closed.