PETALING JAYA – Mana-mana pihak yang didapati bersubahat menjadi pengedar mercun yang diseludup masuk perlu bersedia menghadapi hukuman.
Itu amaran tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Unit I Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini.
Pengarahnya, Mohammad Sabri Saad berkata, pada musim perayaan kali ini khususnya menjelang 1 Syawal nanti cubaan menyeludup masuk bunga api dan mercun tanpa kebenaran akan berlaku.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk memastikan sesiapa sahaja di luar sana jangan jadi pengedar kepada mercun atau bunga api yang diseludup dan tidak dibenarkan masuk kecuali yang mendapat permit sah yang diberikan polis sahaja dibenarkan dijual di pasar dan kedai.
“Lain daripada itu mana-mana yang dikesan dan kalau dapati menjual secara tidak sah, kita akan rampas dan ambil tindakan tegas di bawah Akta Kastam 1967 yang diperuntukkan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat di Kelana Jaya di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan bunga api dan mercun menjelang Aidilfitri, Mohamad Sabri berkata, penguatkuasaan dan operasi pemantauan akan dipertingkatkan untuk membendung masalah penularan pengedaran dan jualan mercun secara tidak sah.
Katanya, setakat ini tiada rampasan bunga api atau mercun besar besaran dalam kontena di pelabuhan sebaliknya ia hanya berlaku menerusi laluan tikus di sempadan negara.
“Selain itu, kes kes rampasan membabitkan mercun tidak banyak, cuma kita dapat kes di peringkat dalaman contohnya mercun dijual di kedai dan pasar malam.
“Kami juga telah menerima arahan dari ibu pejabat Kastam memperkukuhkan penguatkuasaan dan pemantauan di seluruh wilayah persekutuan
“Kita akan memantau rapat setiap pengedar dan peniaga termasuk di pasar malam supaya mengelak daripada menjual mercun yang dilarang serta tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya.
Ditanya jenis mercun atau bunga api yang dibenarkan, beliau berkata, ia tidak dapat diberikan dengan jelas tetapi mana-mana mercun yang tidak mendatangkan ancaman kepada orang yang dibenarkan. – MalaysiaGazette