Jalan yang berlubang sudah diturap.

SERI KEMBANGAN – Prihatin dengan aduan dan keluhan pengguna jalan raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menyelesaikan masalah kerosakan jalan yang berpunca daripada kerja-kerja pemasangan paip demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya di kawasan tersebut.

Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar sendiri telah turun padang untuk meninjau tahap kerosakan jalan ekoran rungutan penduduk berkaitan isu tersebut pada 6 April lalu dan mengarahkan kontraktor melaksanakan pembaikan segera mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak majlis.

Terdahulu, MalaysiaGazette pada 4 April melaporkan aduan penduduk dan pengguna harian jalan sekitar Taman Puncak Jalil yang mahu MBSJ membaiki jalan yang rosak kerana khuatir tentang permukaannya yang merisikokan keselamatan pengguna.

Johary Anuar (kiri) turun padang untuk meninjau kerosakan jalan di laluan sekitar Taman Puncak Jalil.

Menurut Timbalan Pengarah MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid, kerja-kerja pembaikan yang dilakukan merangkumi penurapan jalan, pembinaan semua ‘island curb’, pembaikan ‘kerb’, dan pembaikan ‘scupper drain’.

“Taman Puncak Jalil berada di dalam jajaran pemasangan paip air yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)”

“Kontraktor yang dilantik, Syarikat Suhati Sdn. Bhd dah pun menyelesaikan projek tersebut namun perlu memastikan kerja-kerja pembaikan akhir perlu dilaksanakan.

“Pihak kontraktor memaklumkan kerja-kerja tampalan sementara sudah diselesaikan pada 4 April lalu dan tampalan kekal melalui kopak dan tampal akan dilakukan setelah tempoh uji cuba bagi saluran paip dilaksanakan pada pertengahan April 2022,” kata Azfarizal dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihak kontraktor berjanji untuk menyelesaikan kerja-kerja pembaikan bermula selewatnya pada 7 April lalu.

Jelas Azfarizal, pihak majlis akan melaksanakan pembaikan melalui kontraktor yang dilantik pihak majlis dengan kos pembaikan dipotong daripada wang cagaran projek yang dikenakan kepada pihak kontraktor asal sekiranya pihak kontraktor gagal mematuhi arahan tersebut. – MalaysiaGazette