Polis menahan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di bahagian hadapan dan belakang di Bentong baru-baru ini.

KUANTAN – Penahanan seorang lelaki kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pemilikan motosikal  di sini akhirnya telah menyelesaikan sebanyak 16 kes kecurian di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pada mulanya, lelaki berusia 29 tahun menunggang motosikal yang didapati tiada nombor pendaftaran bahagian depan dan bahagian belakang.

“Polis telah membuat semakan rekod ke atas nombor casis dan enjin motosikal tersebut namun terdapat kesan pengubahsuaian ke atas nombor tersebut sehingga tidak dapat membaca nombor dengan jelas.

“Justeru, pihak polis telah tahan lelaki tersebut kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen dan tidak dapat memberikan keterangan tentang pemilikan motosikal tersebut.

“Hasil soal siasat oleh pihak polis ke atas lelaki tersebut dapati lelaki tersebut mengaku terlibat bagi sembilan kes curi motosikal di bawah pentadbiran Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong manakala tujuh kes di bawah pentadbiran IPD Jelebu, Negeri Sembilan.

“Kesemua sembilan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Mahkamah Bentong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Enam daripadanya telah dapat arahan tuduh iaitu satu kertas siasatan dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan sekiranya di dapati bersalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Manakala tiga kertas siasatan dituduh bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara selama tempoh sampai tujuh tahun dan denda ataupun kedua-duanya.

Sementara itu, satu kertas siasatan di tuduh di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih dari tiga bulan atau kedua-duanya.

“Satu kertas siasatan dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan di mana sekiranya didapati bersalah penjara selama tempoh boleh sampai lima tahun dan juga dikenakan denda.

“Jika kesalahan yang dimaksudkan hendak dilakukan itu kesalahan mencuri maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu dilakukan kali kedua atau yang kemudian bolehlah juga dikenakan denda dan sebat,” katanya.

Berikutan itu, Zaiham berkata, lelaki tersebut telah dituduh semalam di Mahkamah Bentong atas enam pertuduhan. – MalaysiaGazette