Bangkai bas yang hangus terbakar selepas bertembung dengan lori di selatan Mesir. foto AP

KAHERAH – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas sebuah bas pelancong bertembung dengan trak dan kemudian terbakar di selatan Mesir.

Pejabat gabenor wilayah berkata, kemalangan itu berlaku di jalan raya antara bandar Aswan dan kuil Abu Simbel, sebuah destinasi pelancongan popular.

Bas itu dalam perjalanan ke Kuil Esna di tebing barat Sungai Nil, kira-kira 34 batu (55km) ke selatan bandar purba Luxor.

Empat warga Perancis, seorang Belgium dan lima Mesir terbunuh dalam nahas itu.

Kira-kira 14 orang lagi cedera, termasuk lapan pelancong Perancis dan enam dari Belgium.

Kementerian Kesihatan Mesir berkata, 30 ambulans dihantar ke tempat kejadian dan membawa mangsa ke hospital.

Gabenor Wilayah Aswan Ashraf Attia berkata, mangsa yang cedera dalam keadaan stabil.

Punca nahas masih belum diketahui.

Kemalangan itu berlaku lima hari selepas sebuah bas terhempas di lebuh raya berhampiran Laut Merah, mengorbankan tiga orang termasuk dua pelancong Poland.

Nahas jalan raya yang membawa maut meragut ribuan nyawa setiap tahun di Mesir kerana negara ini mempunyai rekod keselamatan pengangkutan yang lemah.

Kebanyakannya berpunca daripada kelajuan, jalan yang teruk atau penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang lemah.

Agensi perangkaan rasmi Mesir berkata, terdapat kira-kira 10,000 kemalangan jalan raya pada 2019, yang mengorbankan lebih 3,480 orang.

Pada tahun 2018 pula terdapat 8,480 kes kemalangan kereta yang menyebabkan lebih 3,080 kematian. – Sky News (https://news.sky.com/story/egypt-10-people-killed-as-bus-full-of-tourists-bursts-into-flames-after-colliding-with-truck-12589429)