BANGKOK – Thailand mungkin menyaksikan peningkatan kes Covid-19 dua atau tiga kali ganda selepas cuti Songkran kerana ramai yang dilihat mengingkari langkah pencegahan pada hari pertama tahun baharu Thai Songkran pada Rabu, demikian menurut seorang pakar perubatan.
Profesor Madya Thira Woratanarat, dari Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn menyuarakan kebimbangannya berikutan laporan media mengenai pelancong dan penduduk tempatan mengabaikan langkah pencegahan Covid-19, termasuk menyertai pesta air jalanan, berhibur dan minum di tempat yang sesak.
Beliau berkata perbuatan itu akan mencetuskan satu lagi wabak kerana mempunyai semua faktor penyumbang kepada penularan pantas COVID-19.
“Tahun lalu, jumlah kes harian COVID-19 meningkat dua hingga tiga kali ganda selepas cuti Songkran. Kami menjangkakan keadaan yang sama tahun ini.
“Impaknya tidak berakhir di situ. Jumlah (kes Covid-19) akan berganda lagi dalam masa sebulan,” tulis beliau di laman Facebooknya hari ini.
Tambahnya, masih belum terlambat selagi tindakan tegas diambil bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Thailand mencatatkan 24,134 kes baharu Covid-19 dan 115 kematian, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara kepada 3,973,003 dan 26,510 kematian setakat ini.
Bagi mengekang penularan Covid-19, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengenakan larangan simbahan air tradisional di sepanjang jalan sepanjang sambutan Songkran tahun ini.
Meskipun berulang kali diberi amaran tentang ‘Songkran tanpa air’, pelancong dan penduduk tempatan berpusu-pusu ke Khaosan Road di Bangkok dan Patong Walking Street di Phuket semalam untuk pertempuran air jalanan.
Hari ini, polis, anggota tentera dan pegawai majlis tempatan ditempatkan di Jalan Khaosan. Selain itu, pusat pemeriksaan disediakan untuk mengelak orang ramai mengingkari larangan itu.
Media tempatan melaporkan bahawa pegawai perbandaran dari Pejabat Daerah Phra Nakhon mengarahkan semua perniagaan di sepanjang Jalan Khaosan tidak membenarkan pelancong menyimbah air dan menyimpan semua baldi ais.
Mereka yang mengingkari perintah itu akan dikenakan denda 100,000 baht, lapor PBS Thai.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelancong dan orang ramai yang mengingkari larangan menyimbah air di Bangkok serta di Phuket.
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengendalikan perkara itu dengan segera. – MalaysiaGazette