UNTUK menukilkan maksud bahagia itu tidak sukar, namun ia bersifat subjektif. Ada orang bahagia itu tafsirannya adalah kalau berharta, berpangkat dan berkedudukan. Ada orang rasa bahagia kalau cukup makan, cukup pakai, semua sederhana dan seadanya. Sesetengah orang meletakkan bahagia itu jika dapat melaksanakan amal ibadah dengan selesa, menguruskan hal ehwal keluarga dengan baik atau dapat bersosial dengan rakan taulan.
Jika dirujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud bahagia ialah suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Aristotles, ahli falsafah Greek mengungkapkan bahagia itu sebagai suatu kesenangan yang dicapai oleh setiap orang menurut kehendak masing-masing. Lain pula dengan nukilan Ibn Miskawayh, seorang ahli falsafah Parsi yang menyebut bahawa kebahagiaan adalah matlamat tertinggi bagi setiap insan. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyebut bahagia pada manusia adalah kemuncak kebahagiaan terakhir iaitu dengan cara menyerahkan diri secara sukarela kepada Islam dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati segala perintah dan larangan-Nya.
Sejak tahun 2002, Laporan Kebahagiaan Dunia (World Happiest Countries) yang dikeluarkan oleh The Sustainable Development Solutions Network kelolaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, telah menggunakan analisis statistik yang komprehensif untuk menentukan negara paling gembira di dunia. Dalam kemas kini tahun 2021, laporan itu menyimpulkan bahawa Finland adalah negara paling gembira di dunia diikuti negara Denmark, Switzerland dan Iceland. Manakala Malaysia berada di kedudukan ke-58 daripada 149 negara. Untuk menentukan negara paling gembira di dunia, penyelidik dalam kajian ini menganalisis data tinjauan Gallup yang merentasi 149 negara. Hasil kajian terfokus kepada prestasi negara-negara terlibat dalam enam kategori iaitu keluaran dalam negara kasar perkapita, sokongan sosial, jangka hayat dan kesihatan, kebebasan untuk membuat pilihan hidup, kemurahan hati penduduk secara umum, dan persepsi tahap rasuah dalaman dan luaran.
Baru-baru ini, tular di media berkenaan tiga negeri di Malaysia yang diiktiraf sebagai ‘Negeri Bahagia’. Ramai yang mengiyakan, bahkan tidak kurang juga yang mempersoalkan pengiktirafan negeri bahagia ini. Hangat juga perdebatan yang berlangsung dalam kalangan para netizen di media sosial berkenaan pengiktirafan ini. Begitupun, kita semua harus faham bahawa takrifan bahagia yang diterima oleh Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka ini ada keunikannya.
Mengambil Negeri Sembilan sebagai fokus penulisan ini, Anugerah Negeri ‘Bahagia’ ini diberikan oleh Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) apabila kesemua daerah di Negeri Sembilan mendapat skor melebihi 80 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar-bandar di seluruh Malaysia. Pengiktirafan Kebahagiaan ini mengambil kira aspek yang berkaitan dengan tahap dan kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan pepejal dan kutipan sampah di kawasan kejiranan dan komuniti. Hasil kajian oleh PLANMalaysia mendapati tujuh daerah di Negeri Sembilan yang mempunyai 1.2 juta penduduk ini, mencatatkan skor penuh, dengan Tampin dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia Malaysia dengan pencapaian skor tertinggi 99.5 peratus, diikuti Jelebu (97.85 peratus), Jempol (89.07 peratus), Kuala Pilah (88.39 peratus), Port Dickson (85.76 peratus), Seremban (83.60 peratus) dan Rembau (81.91 peratus).
Pada hemat penulis, faktor utama kebahagiaan di Negeri Sembilan adalah berteraskan kepada pembangunan setiap bandar yang ada di sini. Ini berdasarkan kekuatan dan kemampuan yang bersandarkan kepada tiga teras pembangunan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045. Pertamanya adalah, merealisasikan daerah Seremban dan Port Dickson sebagai pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 iaitu bandar metropolis yang berdaya saing inklusif dan bersih. Keduanya, daerah Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol sebagai pembangunan agropolis yang menerapkan elemen pertanian. Dan ketiganya, daerah Jelebu sebagai pembangunan biodiversiti yang menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi.
Begitu juga, erti kebahagiaan Negeri Sembilan bahkan di semua negeri di Malaysia ini perlulah pertamanya, melihat kepada penambahbaikan berterusan terhadap beberapa dimensi yang sangat diperlukan oleh rakyat. Misalnya, kemudahan infrastruktur yang dekat dengan kediaman, kadar liputan jalur lebar dan internet, pengurangan gangguan bekalan elektrik dan bekalan air, kemudahan pengangkutan awam yang sistematik, dan sebagainya. keduanya, fokus kerajaan negeri perlu terus melihat kepada usaha yang sistematik dan komprehensif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jelata. Misalnya, seperti penekanan dan penambahbaikan aspek penjagaan dan akses terhadap kesihatan, menangani kemiskinan secara menyeluruh, mempertingkatkan bekalan rumah mampu milik berkualiti, mempergiat aktiviti ekonomi, menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat dan sebagainya.
Ketiganya, bahagia juga perlu terus dapat dikecapi oleh segenap lapisan masyarakat melalui usaha mengekalkan keharmonian negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum dilihat bukan satu perkara mudah dan boleh dipandang enteng. Semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin negara, golongan profesional, pemimpin komuniti, masyarakat umum termasuklah anak-anak yang masih kecil perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengekalkan dan menjaga kebahagian dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.
Semua pihak harus sedar bahawa kunci kepada kebahagiaan juga adalah bertitik tolak daripada kekuatan perpaduan dan keharmonian kepelbagaian kaum yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Hari ini, dalam kehidupan masyarakat majmuk yang diamalkan di negara ini, semua pihak perlu memahami asal usul, menghormati serta menerima budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap bangsa seakan-akan kita semua adalah sebuah keluarga dan bersaudara. Sekiranya kunci ini disematkan dalam dada setiap insan yang berada di bumi bertuah ini, sudah pasti kebahagiaan, walau apapun indikator dan rujukan tafsirannya dapat berkekalan.
Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor,
Ketua Program, Program Pengurusan Dengan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia