Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjalankan siasatan berhubung laporan media kononnya rumah sembelih di Australia bekal 45 peratus daging ke Malaysia tidak ikut syariat Islam.

Kenyataan itu dibuat oleh Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PERKEMAS), Faizan Mohd Nor dan disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan bertarikh 14 April lalu.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, isu itu bermula daripada dakwaan seorang penulis di internet pada 1 April lalu yang mendedahkan ketidakupayaan sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM di Australia.

Tulisan itu mendakwa JAKIM tidak mengambil berat isu integriti halal yang meragukan oleh Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA).

“Susulan pendedahan itu, JAKIM telah meminta penjelasan daripada SICHMA pada 12 April 2022 dan mendapat maklum balas segera pada hari yang sama.

“JAKIM dimaklumkan oleh Pegawai Atase Halal JAKIM di Canberra yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries pada 2 Mac 2022 dan mendapati penyembelihan halal yang dilakukan di Thomas Foods Industries mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan yang telah ditetapkan pihak berkuasa Australia.

“Pihak SICHMA juga membuat kenyataan akhbar pada 12 April 2022 memberi penjelasan serta menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi tersebut dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media  semalam.

Kata Hakimah, SICHMA juga memaklumkan mereka telah membuat pengauditan berkala ke atas Thomas Foods International.

Jelasnya, pihak berkuasa Australia, Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE) turut memberi maklum balas segera isu itu dengan menegaskan, mereka memandang serius dakwaan berkenaan dan telah memulakan siasatan.

DAWE menegaskan, Australia mempunyai peraturan ketat yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk eksport.

“Hanya produk daging yang telah memenuhi peraturan dan keperluan eksport Australia serta mematuhi keperluan negara pengimport sahaja akan dibenarkan untuk dieksport.

“Prosedur pengiktirafan pengeksportan daging ke Malaysia seperti yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia adalah aspek kebajikan haiwan sembelihan dan aspek yang turut menjadi keutamaan bagi pihak berkuasa Australia.

“Malaysia mempunyai polisi mengenai kebajikan haiwan dan diperkukuhkan lagi dengan keperluan halal yang ditetapkan oleh JAKIM,” ujar beliau.

Oleh itu, katanya, JAKIM akan memanggil PERKEMAS dan dalam masa sama akan mendapatkan maklumat lanjut dari pihak berkuasa di Australia bagi membantu menangani isu itu. – MalaysiaGazette