The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for her proceeding on child neglect and abuse of the 13-year-old Down Syndrome girl, Bella. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette /15 APRIL 2022.
The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for her proceeding on child neglect and abuse of the 13-year-old Down Syndrome girl, Bella. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette /15 APRIL 2022. Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 15 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah hari ini diberitahu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali telah mengarahkan saksi kelima kes remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella supaya menyapukan ubat pada luka di tubuh Bella.

Saksi terbabit, Yasmin Nahar Mahmood, 19, turut memberitahu mahkamah bawa ubat-ubat terbabit dibelikan sendiri oleh Siti Bainun.

Antara ubat yang digunakan pada Bella adalah pelembab aloe vera, ubat kuning, bio oil, penyembur luka, dermatix, cecair dettol, pembalut luka dan lain-lain.

Sesi soal balas masuk hari ke-11 hari ini bermula pada pukul 10.16 pagi dan dilakukan oleh peguam tertuduh, Asiah Abd Jalil.

Peguam: Boleh Yasmin beritahu mahkamah gambar ini gambar apa?

Saksi: Gambar ubat-ubat Bella.

Peguam: Macam-mana Yasmin tahu ini gambar ubat Bella?

Saksi: Siti Bainun arahkan Aidil kalau dia sempat belikan ubat seperti krim dan ubat kuning. Dia arahkan saya letakkan ubat-ubat ini pada luka Bella.

Peguam: Saya cadangkan Yasmin sayang Bella dan merawat Bella sampai luka-luka itu sembuh. Setuju?

Saksi: Ya.

Peguam: Ada tak ubat-ubat ini Yasmin beli sendiri?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Siapa yang belikan?

Saksi: Siti Bainun.

Peguam: Atas jasa-jasa Yasmin luka Bella sembuh. Setuju?

Saksi: Tidak.

Peguam: Tak setuju? Luka Bella tak sembuh ke?

Saksi: Ada yang sembuh, ada yang tidak sembuh.

Peguam: Saya cadangkan yang sembuh itu semua atas jasa-jasa Yasmin. Setuju tak?

Saksi: Tak.

Peguam: Habis dia sembuh sendiri?

Saksi: Dia kalau dibiarkan, sembuh sendiri.

Peguam: Maksudnya luka yang sembuh itu dibiarkan sahaja sembuh sendiri?

Saksi: Bukan disebabkan Yasmin.

Saksi tersebut turut ditanya sejak bila Siti Bainun mula membenci Bella hingga menyebabkan pengasas Rumah Bonda itu mendera remaja OKU tersebut.

Yasmin menjawab, dia teringat peristiwa Bella menarik langsir hingga putus yang menyebabkan Siti Bainun menyimpan perasaan marah terhadap remaja terbabit.

Peguam: Bella duduk dengan Bainun dari Julai (2020) hingga Februari (2021) Bella tak pernah kena dera pun. Betul?

Saksi: Ya.

Peguam: Kenapa tiba-tiba bulan Februari Siti Bainun naik angin?

Saksi: Saya tidak tahu.

Peguam: Dari Oktober (2020) sampailah Februari (2021) Bella selamat, sihat. Tiba-tiba bulan Februari (2021) Siti Bainun mula mendera. Dalam pengetahuan Yasmin ada tak apa-apa peristiwa yang membuatkan Siti Bainun mula rasa nak mendera.

Saksi: Saya tidak pasti.

Peguam: Ok, tidak pasti sebab, kalau ikut keterangan pada Februari Yasmin tak ada kat situ lagi. Sekarang kita cerita bulan Mac. Yasmin sudah ada dalam kondo itu. Ada apa-apa kejadian menyebabkan Siti Bainun tak suka Bella.

Saksi: Pernah jadi satu kejadian, kejadian itu saya tak ingat bulan berapa. Dari kejadian itu menjadi punca. Dari situ Bella sangat kurang dan beza layanan.

Peguam: Apa kejadian itu?

Saksi: Bella pernah masuk bilik kedua (iaitu) bilik saya dan Bella. Bella pernah tertarik langsir hingga bersilang dan tercabut. Bila Bainun tahu Bainun jadi marah. Bainun pukul Bella.

Menurut Yasmin sejak kejadian itu Siti Bainun menjadi marah terhadap Bella dan mula memukul remaja OKU itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi  berhenti rehat pada pukul 11.48 pagi dan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast