Kanak-kanak berumur 4 tahun maut selepas jatuh dari balkoni tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Danau Saujana 2, Setapak pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berumur empat tahun maut selepas jatuh dari balkoni tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Danau Saujana 2, Setapak pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Ashari Abu Samah, ketika kejadian lebih kurang pukul 2 pagi itu, mangsa tidur bersendirian tanpa pengawasan.

Ujar beliau, ibu mangsa didapati tiada di rumah ketika itu.

“Semasa kejadian juga, penghuni rumah lain sedang tidur di bilik lain dan tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Menurut Ashari,  kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001) (penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak).

Jika sabit kesalahan ibu bapa kanak-kanak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanyanya.-MalaysiaGazette