KUALA LUMPUR – Aksi Negeri Sembilan FC dan PJ City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menjadi sesuatu yang istimewa buat K. Devan dan P. Maniam yang merupakan dua sahabat baik di luar padang.
Sudah tidak asing lagi dengan falsafah bola sepak masing-masing, mereka berdua menghormati kredibiliti serta kemampuan antara satu sama lain sebagai pengurus pasukan.
Maniam teruja berdepan skuad kendalian Devan memandangkan ini pertama kali berpeluang untuk menguji kemampuan jurulatih yang dianggap sebagai idolanya dalam bidang kejurulatihan di pentas Liga Super.
“Devan bukan sekadar sahabat tetapi dia sebenarnya adalah ‘sifu’ buat saya dalam bidang kejurulatihan, saya amat hormat padanya kerana merupakan salah seorang jurulatih yang sangat berpengalaman.
“Banyak perkara yang telah dipelajari sepanjang bekerja dengannya semasa di PJ City dan Selangor, beliau banyak membantu saya untuk menjadi seorang jurulatih seperti hari ini.
“Ini kali pertama saya akan berdepan dengan Devan selepas beliau bersama Negeri Sembilan pada musim lalu, jadi sudah tentu akan menjadi aksi yang sangat menarik.
“Sudah tentu Devan telah melakukan kerja rumah yang sedalam-dalamnya tentang kekuatan kami menjelang aksi dengan kami dan saya tidak boleh mengambil mudah,” katanya.
Maniam pernah menjadi penolong jurulatih kepada Devan semasa di Selangor pada tahun 2009 hingga 2011 sebelum mereka sekali lagi bergabung di PJ City pada musim 2020.
Gandingan mereka berdua berjaya memenangi Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009 selain Liga Super tahun berikutnya semasa di Selangor.
Dalam pada itu, Devan menghormati kemampuan Maniam sambil menyatakan dia akan melayani PJ City sepertimana berdepan pasukan lain.
Walaupun pernah bekerja bersama-sama selain mengenali sebahagian besar pemain PJ City, Devan tidak berasakan itu sebagai satu kelebihan besar buat dirinya dalam mengenali kekuatan serta kelemahan lawan.
“Saya akan melayani PJ City seperti mana pasukan-pasukan lain dan kami akan bermain mengikut cara bola sepak yang diamalkan mereka.
“Semua orang tahu bagaimana PJ City bermain, mereka mengamalkan corak intensiti yang tinggi dan kredit harus diberikan kepada Maniam walaupun hanya menggunakan pemain tempatan 100 peratus.
“Namun, bermain di laman sendiri, kami mahu memungut tiga mata penuh serta melebarkan lagi pungutan mata untuk musim ini,” katanya. – MalaysiaGazette