76 pengunjung dan pengurus pusat hiburan di ibu negara dikompuan kerana kesalahan memastikan pematuhan sop fasa peralihan ke endemik Pelan Pemulihan Negara. IhsanL IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Seramai 76 pengunjung di sebuah pusat hiburan di ibu negara  dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM76,000 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tindakan itu diambil semasa serbuan dilakukan di premis hiburan malam itu pada
jam lebih kurang 1.15 pagi tadi.

Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan yang terletak di Jalan Sultan Ismail.

“Hasil pemeriksaan di dalam mendapati 76 warga tempatan terdiri daripada 50 lelaki dan 26 wanita yang berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 51 tahun berada di dalam premis hiburan itu.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu tidak mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa peralihan endemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengurus premis juga turut dikeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahannya gagal mengawal pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal semasa berada di dalam premis itu.

Tindakan kompaun dilakukan mengikut peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke endemik) 2022.

Nor Dellhan menambah, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 ke atas premis tersebut kerana menganjurkan aktiviti hiburan tanpa lesen. – MalaysiaGazette