new record Covid-19 booster dose daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 kekal mencatatkan angka bawah 10,000 kes tujuh hari berturut-turut apabila sebanyak 9,705 kes dilaporkan setakat semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan sehingga kini seramai 4,382,402 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Kes yang dilaporkan setakat jam 11.59 malam semalam, sejumlah 9,675 kes membabitkan penularan tempatan dengan 30 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dari jumlah itu, sebanyak 4,653 kes adalah dalam kategori 1, kategori 2 pula mencatatkan 5,003 kes, disusuli kategori 3, 4 dan 5 masing-masing hanya 16, 15 dan 18 kes sahaja.

“Dari 49 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5, 17 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 15 kes telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 17 kes telah menerima dos penggalak.

“Manakala 29 kes pula berumur 60 tahun dan ke atas, 27 kes pula mempunyai komorbid serta 1 kes adalah kes ibu mengandung,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan kes sembuh pula mengatasi kes baharu dengan 14,346 kes setakat semalam.

Manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 134 kes di mana 72 kes disahkan Covid-19 dan 62 kes lagi disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan hanya 81 kes di mana 44 kes disahkan Covid-19, manakala 37 kes pula disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette