Gambar menunjukkan serpihan pesawat penumpang milik China Eastern Airlines yang ditemui di lokasi nahas di Tengxian, Guangxi Zhuang, selatan China. foto Xinhua

BEIJING – China Eastern Airlines telah menggunakan semula pesawat Boeing 737-800 untuk penerbangan komersial kurang daripada sebulan selepas berlaku nahas yang mengorbankan 132 orang penumpang bulan lalu, menurut data Flightradar24.

Susulan kejadian itu, lebih 200 pesawat tersebut digantung operasi.

Penerbangan China Eastern MU5843, yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 737-800 berusia tiga tahun, berlepas dari bandar barat daya Kunming pada 9.58 pagi waktu tempatan pada Ahad dan mendarat di Chengdu, juga di barat daya China, pada 11.03 pagi waktu tempatan.

Pesawat itu telah selesai ujian penerbangan pada hari Sabtu, kemudian berlepas dari Chengdu pada 1.02 petang ke Kunming, menurut Flightradar24.

Satu lagi pesawat Boeing 737-800 menjalankan ujian penerbangan pada pagi Ahad di Shanghai, lapor data berkenaan.

Dalam tragedi 21 Mac lalu, penerbangan MU5735, yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou, terhempas di pergunungan Guangxi dan membunuh 123 penumpang dan sembilan anak kapal.

Ia merupakan bencana penerbangan paling buruk berlaku di China dalam tempoh 28 tahun.

China telah mendapatkan semula kedua-dua kotak hitam itu dan akan menyerahkan laporan awal kepada agensi penerbangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dalam tempoh 30 hari selepas kejadian itu. – MalaysiaGazette