Home Nasional Op Samseng Jalanan: 13 pemandu mabuk ditahan, 253 saman dikeluarkan

Op Samseng Jalanan: 13 pemandu mabuk ditahan, 253 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR – Seramai 17 orang pemandu serta penunggang motosikal yang terlibat dalam pelbagai kesalahan jalan raya ditahan polis dan diambil tindakan dalam Operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal sejak dalam tempoh tiga hari yang berakhir pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tumpuan operasi itu sekitar pusat bandar, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya AKLEH dan DUKE.

“Secara keseluruhan sebanyak 253 jumlah saman telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan manakala sebanyak 12 buah motosikal telah disita kerana kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) manakala empat motokar telah disita atas kesalahan mengubah suai kenderaan di bawah Seksyen 64 APJ 1987.

“Mereka akan diambil tindakan serta pemeriksaan oleh pihak JPJ,JAS serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ACP Sarifudin Mohd Salleh

Tambah beliau, seramai13 orang lelaki warganegara, yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 44 tahun yang telah melakukan kesalahan bawah Sek 45(A) APJ 1987 memandu dibawah pengaruh alkohol.

Kesemua tangkapan itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di mahkamah di bawah seksyen yang sama.

Dalam operasi sama, tangkapan juga dilakukan ke atas tiga orang lelaki tempatan yang menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta berlumba.

Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Polis juga menahan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

Sarifudin berkata, JSPT KL akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan dan kesalahan lalulintas. .- MalaysiaGazette