Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas (PPK) telah menyediakan satu laporan interim dan membentangkan laporan terbabit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan dengan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang dilantik mengkaji dakwaan dalam buku My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu dibentang kepadanyau yang telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut hari ini.

“PPK telah menyediakan satu laporan interim yang dikemukakan dan dibentangkan kepada saya hari ini. PPK ini adalah sebuah pasukan yang memberi fokus kepada pencarian fakta  terhadap dakwaan-dakwaan dalam buku tulisan Tan Sri Tommy.

“PPK telah menjalankan pemerhatian dan analisis secara menyeluruh terhadap buku tersebut berpandukan kepada terma rujukan yang telah diluluskan oleh Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PPK dipengerusikan oleh bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung.

Manakala anggota PPK terdiri daripada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Hashim Paijan iaitu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr. Junaidah Kamarruddin.

Selain itu ia dianggotai bekas hakim dan timbalan pendakwaraya, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, peguam, Datuk Shaharudin Ali, peguam Balaguru Karuppiah serta wakil kerajaan, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

PPK telah mengadakan 10 mesyuarat yang melibatkan sesi perbincangan dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, agensi-agensi kerajaan berkaitan dan individu-individu yang telah dikenal pasti mulai 23 Disember 2021 hingga 12 April 2022.

Tambah Wan Junaidi lagi, sesi perbincangan dan konsultasi yang diadakan membolehkan analisis dan pemerhatian diuji secara berkesan dengan dokumen dan maklumat yang diperoleh bagi memastikan pembuktian terhadap kesahihan fakta dan dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan dalam buku yang ditulis Tommy.

Menurutnya, sebelum ini Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 22 Disember 2021 bersetuju dengan penubuhan, keahlian dan terma rujukan Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness itu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan ini telah bersetuju dengan laporan interim yang dibentangkan oleh PPK pada hari ini dan laporan akhir yang akan disediakan oleh PPK ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya.

“PPK dijangka menyiapkan laporan penuh (siasatan buku Tommy) menjelang penghujung bulan Jun 2022.

“Kerajaan amat komited dalam meneliti isu-isu berbangkit berhubung badan perundangan dan kehakiman negara bahkan penubuhan PPK ini merupakan salah satu langkah untuk memperkasa sistem keadilan Malaysia ke tahap terbaik,” tegasnya.- MalaysiaGazette