Hidayah bersama pekerja masih menerima tempahan bangkit cheese.
JOHOR BAHRU – Seorang pengusaha kuih bangkit cheese (keju) di Kempas menjual produknya dalam kuantiti banyak dan dipasarkan sepanjang tahun merupakan antara rahsia yang membolehkan Siti Norhidayah Hussein mengekalkan harga makanan itu meskipun berdepan dengan kenaikan harga barang mentah sejak akhir-akhir ini.
Beliau yang mengusahakan pelbagai kuih tradisional mula menceburi dunia perniagaan tujuh tahun lalu dengan meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada makciknya.
Katanya, tempahan diterima sebelum Ramadan menjelang dan sehingga kini hampir semua tempahan kuih bangkit cheese yang dijual RM15 sebalang itu telah disiapkan.

 

“Sebenarnya bangkit cheese ini resipi keturunan-keturunan saya dan majoriti semua buat kuih bangkit, saya tidak pasti ada berapa orang tetapi lebih daripada lima orang di kampung.
“Saya generasi muda, ada juga anak makcik saya tetapi masih dimonopoli makcik-makcik atau orang lama.
Production (pengeluaran) saya kalau sampai malam boleh cecah 200 botol (balang) sehari,” katanya ketika ditemui di premis perniagaan beliau dekat Kampung Maju Jaya Kempas, dekat sini, hari ini.
Selain kuih bangkit cheese, kuih bangkit santan, kuih bangkit gula Melaka dan kuih bangkit santan bijan turut menjadi kegemaran pelanggan Siti Norhidayah.
Justeru itu, tidak mustahil jika premis perniagaan wanita itu di Kampung Maju Jaya, Kempas, dekat sini sering menerima kunjungan pelanggan terutama menjelang Aidilfitri.
Mengakui kenaikkan bahan mentah sedikit sebanyak telah menjejaskan perniagaannya, Siti Norhidayah mempunyai strategi untuk menyerap peningkat kos bagi mengekalkan harga.
Tambah beliau, apa yang boleh dilakukannya ialah memberi penekanan meningkatkan jualan harian.
“Jadi dari sini kita dapat cover dan saya tidak focus untuk musim perayaan sahaja.
“Bila pelanggan tempah kebiasaannya melebihi 2,000 sebotol sehari, walaupun penat kami pengeluaran, Alhamdulillah, masih cukup,” katanya.
Siti Norhidayah berkata, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April lalu melegakan dirinya memandangkan sebahagian besar pelanggannya adalah dari negara jiran itu.
“Bezanya memang orang Singapura direct datang ke kedai beli kuih. Kebanyakannya telefon saya bèritahu nak masuk JB untuk beli kuih.
“Kalau dulu kita mahu masuk sana tak bolehkan selepas itu orang berniaga macam di Pandan mereka sudah tambah stok kuih.
“Pembukaan sempadan memang sangat membantu kepada pengusaha kuih raya,” katanya. – MalaysiaGazette