Pengendalian kargo di Tanjung Pelepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Import Malaysia melepasi paras RM100 bilion buat kali pertama pada bulan Mac 2022 kepada 104.9 bilion berbanding RM80.8 nilion setahun lalu.

Manakala nilai eksport Malaysia meningkat 25.4% kepada RM131.6 bilion daripada RM105 bilion melepasi paras RM100 bilion untuk bulan ke-7 berturut-turut sejak September 2021.

Prestasi itu menjadikan jumlah dagangan pada bulan tersebut kekal merekodkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan dua angka 27.3 peratus tahun ke tahun untuk mencapai nilai tertinggi baharu RM236.6 bilion.

Lebihan dagangan meningkat 10.3 peratus daripada RM24.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM26.7 bilion, merupakan lebihan dagangan bulan ke-23 berturut-turut sejak Mei 2020.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan eksport pada Mac 2022 disokong oleh kedua-dua, eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik bernilai RM106.9 bilion menyumbang 81.2 peratus kepada jumlah eksport, meningkat kukuh 22.8 peratus, tahun ke tahun.

Sementara itu, eksport semula berjumlah RM24.7 bilion berkembang 38.0 peratus berbanding Mac 2021 seiring dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan kukuh 29.9 peratus daripada RM80.8 bilion kepada RM104.9 bilion.

Berbanding Februari 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan peningkatan masing-masing 28.1 peratus, 28.7 peratus, 27.3 peratus dan 34.8 peratus.

Pertumbuhan tahunan yang sangat ketara dalam eksport digambarkan melalui 166 daripada 255 kumpulan barangan menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh injap & tiub termionik.

Bagi import, 186 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.1 bilion), diikuti Jepun (+RM2.1 bilion), Korea (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Thailand (+RM1.4 bilion), Indonesia (+RM1.4 bilion) dan Amerika Syarikat (+RM1.3 bilion).

Sementara itu, China kembali menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import, meningkat RM3.4 bilion. Diikuti Arab Saudi (+RM2.9 bilion), Taiwan (+RM2.8 bilion), Indonesia (+RM2.5 bilion), Singapura (+RM2.3 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.4 bilion) dan Thailand (+RM1.2 bilion).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, peningkatan mengikut produk didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM13.0 bilion); keluaran petroleum (+RM4.6 bilion) minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit
(+RM3.1 bilion); gas asli cecair (+RM2.5 bilion); petroleum mentah (+RM1.6 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM7.1 bilion); petroleum mentah (+RM6.1 bilion); keluaran petroleum (+RM3.0 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.2 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.6 bilion); biji logam & serpihan logam (+RM1.2 bilion) dan arang batu (+RM1.2 bilion).

Pertumbuhan import mengikut Penggunaan Akhir disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan perantaraan, barangan penggunaan dan barangan modal.

Ketiga-tiga kategori penggunaan akhir utama mencatatkan pertumbuhan dua angka pada Mac 2022. Import barangan perantaraan (56.1% daripada jumlah import) berjumlah RM58.9 bilion, meningkat RM15.2 bilion atau 34.9 peratus.

Barangan penggunaan (8.3% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 22.4 peratus daripada RM7.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM8.7 bilion.

Import barangan modal yang berjumlah RM9.5 bilion, meningkat 14.3 peratus berbanding Mac 2021, dan merangkumi 9.1 peratus daripada jumlah import.

Di samping itu, prestasi bagi suku tahun pertama (ST1) 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka.

Jumlah dagangan meningkat 23.6 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+22.2%) serta import (+25.2%).

Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM65.1 bilion. – MalaysiaGazette