Paul Pogba. Foto UK Sports.

LONDON – Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick menyeru penyokong kelab tersebut agar berhenti menyasarkan Paul Pogba selepas pemain antarabangsa Perancis itu membalas ejekan dan cemuhan ketika dia dikeluarkan dalam kemenangan 3 – 2 menentang Norwich, kelmarin.

Pogba yang akan tamat kontrak pada penghujung musim ini danĀ  bakal berpindah keluar secara sinis dan sarkastik menekup telinganya ke arah penyokong sambil berjalan menuju ke terowong laluan pemain selepas tamat perlawanan.
Pemain tengah United itu juga menjadi sasaran penyokong dengan laungan kesat apabila dia digantikan oleh Marcus Rashford ketika kedudukan terikat 2 – 2 pada separuh masa kedua.
Rangnick berkata insiden itu telah menjadi bahan perbualan di kalangan barisan kejurulatihan tetapi tetap menegaskan Pogba tidak sepatutnya dijadikan sasaran utama untuk dipersalahkan dek kerana musim buruk yang diharungi United.
“Peminat sangat menakjubkan. Saya faham mereka kecewa dan marah tetapi tidak masuk akal untuk menyasarkan seorang individu atau pemain semata-mata.
“Ia adalah tanggungjawab bersama, jadi saya akan sentiasa mempertahankan dan melindungi pemain. Saya tidak nampak apa yang dia lakukan pada hujung masa perlawanan tetapi saya ada mendengar mengenainya,” kata pengurus kelahiran Jerman itu.
Rangnick menambah, Pogba telah bermain dengan baik dalam menguasai bola sepanjang permainan.
“Memang bukan posisi terbaiknya sebagai nombor 8 tetapi kami kehilangan khidmat Fred atau Scotty (McTominay). Justeru, saya terpaksa membuat keputusan untuk menyenaraikannya, ” katanya. – MalaysiaGazette
https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-10724727/Paul-Pogba-cups-ears-BOOED-told-f-k-Man-United-fans-Norwich-win.html