Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Jasmirol Jamaluddin menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam satu sindiket pengedaran dadah semasa melakukan satu operasi Op Gaston ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket dadah yang menjadikan hotel bajet dan pusat hiburan yang mensasarkan pelanggan di Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya enam individu dalam dalam Operasi Gaston yang dilakukan pada 14 dan 15 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, seorang lelaki berusia 45 tahun disyaki dalang yang merancang dan mengendalikan sindiket pengedaran antara yang ditahan polis.

“Kita telah melakukan serbuan di lima lokasi yang dikenalpasti di sekitar Lembah Klang iaitu dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Jalan Putramas kita berjaya menahan dua lelaki dan seorang perempuan berusia 34 hingga 45 tahun .

“Hasil pemeriksaan di dalam unit rumah berjaya merampas syabu seberat satu kilogram dan ketamin 365 gram dan kemudian serbuan kedua diteruskan di sebuah lagi kondominium di Jalan Cendana di ibu negara sebelum merampas 54 gram syabu dan 150 biji pil eremin 5,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pasukannya kemudian melaksanakan serbuan di kawasan Taman Petaling Utama, Petaling Jaya yang membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia 20 dan 21 tahun.

Menurut Jasmirol, hasil pemeriksaan ke atas mereka membawa kepada rampasan dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram di rumah mereka.

“Kemudian kami meneruskan serbuan keempat di sebuah unit pangsapuri di Taman Petaling Utama, dan merampas ganja 10.8 kilogram, heroin 2.1 kilogram, syabu 2.1 kilogram, pil eramin 5 sebanyak 3,000 biji.

“Akhirnya dalam serbuan kelima di Pangsapuri Taman Petaling juga polis merampas 1.7 kilogram heroin dan 11 gram ganja,” katanya.

Jasmirol berkata, secara keseluruhan nilai rampasan dadah menerusi lima serbuan berkenaan berjumlah RM386,757.

Katanya, saringan awal ujian air kencing terhadap suspek yang berusia antara 20 hingga 45 tahun itu mendapati dua lelaki positif syabu dan seorang positif ganja manakala suspek perempuan positif syabu.

“Siasatan awal mendapati mereka aktif dalam kegiatan ini sejak tiga bulan lalu dan menjadikan hotel bajet dan pusat hiburan sebagai pot mereka mengedar dadah dalam kuantiti kecil-kecilan.

“Kebanyakannya adalah pelanggan tetap dan dalang utama berperanan menerima barang dadah di Lembah Klang sebelum merancang bersama rakan dan mengedar dalam bentuk kecil-kecilan termasuk mensasarkan pelanggan pusat hiburan atau kelab malam,

“Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 April ini untuk disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” ujarnya. – MalaysiaGazette