KUALA LUMPUR – Lapan tahun bergelar anak seni, pelakon, Sarah Hildebrand akhirnya mengambil keputusan untuk bersara daripada dunia hiburan.

Perkara berkenaan telah diumumkan sendiri oleh Sarah, 31, menerusi perkongsian video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sebab membuat keputusan nekad berkenaan.

“Saya rasa ini masa yang sesuai untuk memaklumkan yang saya mahu bersara daripada dunia seni di Malaysia. Kini saya tidak akan terima sebarang tawaran sama ada sebagai pelakon atau pengacara.

“Sebenarnya saya masih lagi mendapat tawaran, tetapi masih tidak beri maklum balas lagi. Dengan pengumuman bersara ini, buatlah apa-apa pun bagi viral dan semua orang tahu,” katanya.

Namun, artis kacukan berkenaan menghargai pengalaman sepanjang bergelar seorang anak seni.

“Terima kasih untuk pahit manis selama ini. Saya akan hargai setiap momen dan pengalaman itu,” tambahnya.

Sebagai rekod, Sarah sebelum ini menarik perhatian apabila mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab pada tahun 2020. – MalaysiaGazette