KUANTAN – Seorang penunggang basikal warga emas maut dirempuh kereta di Kilometer 15 Jalan Benta-Jerantut, Kuala Lipis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 66 tahun itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Lipis.

Katanya, siasatan awal mendapati basikal yang ditunggang Mohamad Awang dalam perjalanan dari Benta menghala ke arah Jerantut untuk membeli barangan dapur.

“Polis menerima satu panggilan telefon daripada orang awam mengatakan ada satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan sebuah basikal berlaku di KM 15 Jalan Benta-Jerantut pada jam 2 petang semalam.

“Setibanya di tempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan basikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran tersebut, tambah beliau, mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Menurut Azli, pihak telah terima makluman daripada Hospital Lipis mengatakan mangsa yang tinggal di Kampung Kemahang Benta, Kuala Lipis meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Lipis pada jam 5.42 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ujarnya. – MalaysiaGazette