11 pelajar direman untuk siasatan mencederakan rakan asrama. foto Astro Awani

KUALA TERENGGANU – Seramai 11 pelajar sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus ditahan bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan seorang pelajar sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata, kesemua suspek yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis, suspek dikatakan telah memukul dan menyepak mangsa yang berusia 14 tahun.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan dan lebam pada bahagian peha kiri dan kanan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Abdul Rahim berkata, berikutan itu mangsa telah membuat laporan polis pada Ahad kira-kira jam 9.40 malam.

Susulan laporan itu, kesemua suspek telah ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi siasatan lanjut.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham yang menjadi antara punca tercetusnya insiden itu.

Abdul Rahim berkata kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – MalaysiaGazette