Doktor
Doktor sedang memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di ICU HKL. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, sebanyak 308 kes baharu Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 171 kes (55.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 137 kes lagi (44.5 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Daripada 43 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 14 kes (32.56%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 17 kes (39.53%) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak.

Manakala 12 kes (27.91%) telah menerima dos penggalak, 22 kes (51.16%) berumur 60 tahun dan ke atas dan  26 kes (60.47%) mempunyai komorbid.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kedah merekodkan jumlah kemasukan hospital tertinggi dengan 68 kes diikuti Selangor (58), Perak (32), Johor (27), Kuala Lumpur (25) dan Pulau Pinang (20).

Menurutnya, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 pula ialah 760 atau 14% daripada jumlah kapasiti.

Tiada negeri yang menunjukkan peratusan katil kes ICU melebihi 50 peratus.

Putrajaya dan Negeri Sembilan merekodkan kapasiti penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus.

Tambah beliau, 68 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dengan peratusan penggunaan ventilator sebanyak 9% daripada jumlah keseluruhan.

Sehingga semalam sebanyak 114 kluster aktif yang direkodkan berbanding 120 kluster aktif pada dua hari lalu.

Bagi tempoh sama jumlah keseluruhan kluster yang dikesan adalah 6,990 dengan 6,876 kluster telah tamat.

Mengenai kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, rekod KKM semalam menunjukkan ada sedikit kenaikan iaitu 7,140 kes berbanding 6,623 kes direkodkan.

Katanya, kes sembuh pula mencatatkan jumlah tertinggi 14,423 kes berbanding 11,233 kes sehari sebelum itu, menjadikan 4,264,127 kes kumulatif sehingga jam 11.59 malam tadi.

“Kes import naik 20 kali ganda iaitu daripada 13 kes pada Ahad kepada 264 kes semalam melibatkan 206 warganegara dan 58 bukan warganegara.

“Bagi kes tempatan pula sebanyak 6,876 kes iaitu 6,594 warganegara dan 282 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) merekodkan 110 kes iaitu 57 kes daripadanya disahkan Covid-19, 53 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Begitu juga kes memerlukan bantuan pernafasan, iaitu 68 kes, yang mana 37 kes daripadanya disahkan Covid-19 dan 31 kes disyaki, kemungkinan serta kes dalam siasatan. – MalaysiaGazette