DSP Yap Huat Tian

KUANTAN – Seorang pengarah syarikat berputih mata setelah mengalami kerugian RM174,939 apabila terpedaya dengan helah sindiket perjudian yang menawarkan cabutan bertuah bernilai RM2,385,000 kepada beliau.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Negeri Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa telah dihubungi oleh wakil pusat perjudian yang berpusat di Macau dan Hong Kong yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai HKD 4,482,500.

“Mangsa kemudian terima panggilan telefon daripada pihak yang mendakwa sebagai pegawai bank forex dari Hong Kong yang meminta dia menjelaskan cukai kastam dan segala perbelanjaan peguam.

“Mangsa yang diperdaya melakukan 10 kali transaksi bank berjumlah RM174,939 ke dalam  lima akaun bank berbeza,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Pengarah syarikat yang berusia 61 tahun itu mula terjebak dalam sindiket tersebut pada penghujung tahun lalu dan telah melakukan 10 transaksi sehingga bulan April.

Malangnya, mangsa gagal menerima apa-apa yang dijanjikan sebaliknya panggilannya disekat oleh suspek dan gagal dihubungi sehingga kini.

Yap berkata, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis semalam dan kes masih dalam siasatan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette