GEORGE TOWN – Pesakit kanser limfoma tahap empat yang sedang berjuang melawan penyakit itu memerlukan sumbangan untuk membiayai rawatannya.

Nurasyiqah Tahir, 31, yang disahkan menghidap kanser limfoma pada 2017 kini memerlukan rawatan susulan bagi meneruskan kehidupannya termasuk menjaga tiga anaknya berusia lingkungan tiga hingga tujuh tahun.

Menceritakan detik dirinya dikesan menghidap kanser, ibu kepada tiga kanak-kanak itu berkata, dia sering demam selain timbul bintik merah pada badannya selepas melahirkan anak kedua.

“Susulan itu, doktor mengambil sampel bintik tersebut untuk kajian sebelum mengesahkan saya menghidap kanser limfoma.

“Bagaimanapun dalam tempoh rawatan, saya hamil dan rawatan kanser dihentikan untuk melindungi bayi dalam kandungan.

“Selain itu, rawatan yang menelan perbelanjaan besar telah memaksa kami meminjam daripada saudara serta mendapatkan bantuan dari pihak tertentu untuk merawat kanser yang hidap,” katanya dalam satu kenyataan kepada One Hope Charity hari ini.

Tambah Nurasyiqah, dia nekad dan lebih bersemangat melawan kanser yang dihidapnya selepas melahirkan anak ketiga itu namun pada akhir tahun 2020 keadaannya bertambah teruk hingga menyebabkan dia tidak boleh berjalan lagi.

“Kehidupan saya kini bergantung kepada kerusi roda sepenuhnya sususlan doktor mengesahkan sel kanser telah merebak ke tulang belakang dan saraf.

“Saya kini memerlukan RM68,000 untuk menampung dua kitaran kos ubat serta terapi namun pendapatan suami RM1,700 sebulan sebagai anggota polis tidak mampu menampungnya tambahan pula kami mempunyai tiga anak yang perlu diuruskan.

“Keadaan saya kini membimbangkan manakala kelulusan daripada kerajaan untuk kos perubatan ini memakan masa menyebakan saya dan suami meminta  bantuan daripada One Hope Charity & Welfare,” ujar Nurasyiqah.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, mengikut laporan yang dibekal oleh hospital,  rawatan radioterapi dan kimoterapi berserta dengan penukaran ubat beberapa kali telah dijalankan ke atas Nurasyiqah namun tidak mendatangkan kesan yang baik.

Jelas beliau, kini ubat terapi secara target untuk kanser itu telah ditemui dengan harga RM34,000 bagi setiap satu kitaran dan Nurasyiqah memerlukan enam kitaran untuk rawatan tersebut.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan RM68,000 dari orang awam sekali gus menguruskan rawatan suri rumah itu

“Bagaimanapun dana yang dikumpul itu untuk menampung dua kitaran perubatan sahaja,” kata beliau.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette