Poster lagu Raya Tak Seindah Dulu.

KUALA LUMPUR – Raya Tak Seindah Dulu  lagu terbaharu dari komposer Al-Mizan yang kini popular dalam YouTube ternyata mengamit suasana Aidilfitri satu ketika dahulu.

Namun dalam suasana yang pernah dilalui oleh rakyat Malaysia berikutan penularan Covid-19 menyebabkan  kemeriahan sudah berubah.

Atas kesedaran tersebut Al-Mizan melontarkan perasaannya melalui lagu Raya Tak Seindah Dulu.

Komposer Al-Mizan (kanan) bersama Mohd Adnan (dua dari kanan) dalam sidang media mengenai lagu Raya Tak Seindah Dulu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Jika dulu kita dapat bertemu semua orang yang tersayang seperti ibu, ayah, sanak-saudara dan sahabat handai tapi suasana kini sudah berubah dan berbeza.

“Semua pergerakan terhad akibat penularan Covid-19. Melalui lagu ini saya cuba lontarkan perasaan yang menyentuh diri dan saya raya semua orang mengalaminya terutama apabila Aidilfitri semakin hampir.

“Lagu ini baru dilancarkan dan dapat didengari serta ditonton melalui YouTube,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif InnoStudioz, Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya memperkenalkan dua pendatang baharu dalam dunia hiburan iaitu Tizzara dan Syahmi untuk membawa lagu berkenaan.

Tizzara dan Syahmi

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa hampir setahun untuk menerbitkan lagu tersebut.

“Ini termasuk menghasilkan lagu, mencari bakat baharu untuk diketengahkan dan lain-lain. Setelah kami berpuas hati barulah lagu ini diterbitkan,” katanya.

Beliau yakin lagu Raya Tak Seindah Dulu bakal menambat hati para pendengar tanah air.

Sementara itu, bagi Tizzara, dengan tunjuk ajar daripada Al-Mizan, dia yakin dapat pergi jauh lagi dalam dunia hiburan.

“Lagu ini memang menyentuh perasaan saya,” katanya.

Bagi Syahmi pula, lagu berkenaan memang satu sentuhan terutama ketika negara dilanda Covid-19.

“Suasana raya dulu dan sekarang tidak lagi sama. Semua orang terasa terutama apabila mendengar lagu ini,” katanya.- MalaysiaGazette