Sagar Sunar (tengah) mahu menjadi individu terpendek pertama tiba di Gunung Qomolangma. Foto TheHimalayaTimes

KATHMANDU – Sagar Sunar, seorang lelaki Nepal dengan ketinggian 1.13 meter, menuju ke arah Gunung Qomolangma pada hari Selasa, untuk melunaskan impiannya menjadi pendaki terpendek pernah menjejaki puncak tertinggi di dunia.

“Pendaki berusia 28 tahun itu berlepas ke gunung berkenaan sejurus selepas mendapat permit mendaki daripada Jabatan Pelancongan Nepal pada hari Selasa,” kata Aditya Bhusal, Pengarah Himalaya Shepherds Eco Trek and Expedition yang menganjurkan ekspedisi Sunar.

“Sekiranya Sunar berjaya dalam percubaannya, dia akan menjadi orang terpendek yang pernah mencapai puncak Gunung Qomolangma,” tambah Bhusal.

Sunar tinggal di daerah Kaski di barat Nepal.

Bhishma Raj Bhattarai, seorang pegawai di bahagian pendakian gunung di Jabatan Pelancongan menyatakan jabatan itu tidak mempunyai rekod mana-mana individu terpendek lain yang telah mendaki Gunung Qomolangma setinggi 8,848.86 meter itu.

Sebelum berangkat ke Gunung Qomolangma, Sunar telah mendaki Puncak Ramdung (5,925m) di kawasan Rolwaling di Himalaya.

Pada hari Selasa, Jabatan Pelancongan Nepal telah mengeluarkan permit mendaki untuk 287 pendaki untuk mendaki Gunung Qomolangma, kata agensi itu dalam satu kenyataan akhbar. – Xinhua (https://english.news.cn/asiapacific/20220419/31eac2c3570a46e1848f44b1336805e2/c.html)