Pertubuhan Amal Tiara Kasih (PATIK) aktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan menyantuni golongan asnaf sejak penubuhannya pada 2 Mac 2021 tahun lalu

KUANTAN – Pertubuhan Amal Tiara Kasih (PATIK) mewarnai dunia aktiviti kebabajikan dan kemasyarakatan di negeri ini dengan menganjurkan lebih daripada 50 aktiviti dalam tempoh setahun penubuhannya.

Pengerusinya, Tunku Zaza Fakia Faranaz Tunku Ismail berkata, PATIK didaftarkan pada 2 Mac 2021 dan mula aktif sewaktu membantu mangsa banjir yang terkesan pada ketika itu.

Jelas Zaza, penglibatan PATIK terus dipergiat ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung yang mana pihaknya terus menyalurkan kudrat mengagihkan barang keperluan asas kepada golongan terkesan.

Walaupun baru setahun ditubuhkan PATIK aktif membangunkan kerja komuniti di samping bantuan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini dan sinergi bersama dengan kolaborasi pelbagai pihak.

“Sebenarnya ia adalah hasil gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu mangsa banjir pada tahun lalu.

“Meskipun baru dalam bidang ini, PATIK sudah menganjurkan lebih 50 program dengan bantuan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan agensi kerajaan selain kerajaan negeri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette

Justeru, pihaknya mengalu-alukan jika ada pihak ingin menghulurkan bantuan melalui PATIK untuk turut serta menabur bakti kepada golongan memerlukan di ngeri ini.

Terdahulu katanya seramai 60 kanak-kanak dan wanita dari Pusat Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak Casa Harapan dan Casa Femina diraikan dalam satu majlis berbuka puasa.

Majlis tersebut turut ditaja Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Ibrahim juga sempat mengagihkan duit raya kepada setiap penghuni selepas selesai majlis berbuka puasa itu.

Selain itu, pihaknya menaja 85 peserta dalam Program Pembelian Baju Raya Anak-anak Yatim dan Asnaf Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang dalam usaha meringan beban pengurusan membuat persiapan Aidilfitri pada tahun ini.

Sebanyak RM5,500 sekurang-kurangnya diperuntukan bagi  setiap tahun untuk pembelian baju raya dan tahun ini PATIK bekerjasama dengan The Green Valley Plantation Management Sdn Bhd (TGVY).

Program membeli baju raya merupakan program kedua yang dilaksanakan secara kolaborasi dan pemilihan penerima sumbangan adalah berbeza setiap tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast