Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman

MARAN – Warga emas antara tujuh lelaki warga tempatan yang diberkas dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Felda Jengka 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mereka  yang ditahan itu berusia berumur lingkungan 40 hingga 69 tahun merupakan peneroka dan yang bekerja sendiri.

“Serbuan berdasarkan risikan dan maklumat dilakukan pada 19 April jam 4.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Lokasi aktiviti judi belangkas dikesan di Felda Jengka 6 oleh pihak Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Maran pada petang semalam

“Mereka ditahan ketika sedang berkumpul di dua buah meja disyaki sedang leka bermain judi belangkas.

Menurut Norzamri, polis merampas perkakas perjudian termasuk wang tunai dalam serbuan itu.

“Rampasan yang dilakukan melibatkan dua buah meja lipat, dua buah dadu belangkas, kain kanvas, seutas tali putih, piring dan mangkuk kecil serta wang tunai berjumlah RM4358,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, semua suspek termasuk dua warga emas kini ditahan dan direman di lokap Balai Polis Maran sehingga 23 April nanti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Norzamri menegaskan, polis akan terus memantau aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah di daerah Maran secara berterusan walaupun di dalam bulan Ramadan yang mulia ini. – MalaysiaGazette