BANDAR BAHARU – Tahanan lama yang berada dalam Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau di sini dikatakan dalang utama yang mencetuskan insiden rusuhan dan melarikan diri daripada pusat tahanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, berdasarkan keterangan tahanan diberkas semula dan siasatan awal polis membawa kepada pendedahan lelaki berusia 30-an itu dalang kepada insiden tersebut.

Jelas beliau, pihaknya sudah mengenal pasti dalang tersebut dan usaha menjejakinya bersama tahanan yang masih bebas sedang giat dijalankan.

“Berdasarkan siasatan awal pihak polis mendapati tahanan yang lolos itu tiada arah tuju dan hanya mengikut tindakan rakan mereka dengan alasan mahu bebas daripada tahanan terbabit.

“Selain itu, dakwaan wujud paksaan daripada tahanan tertentu untuk mereka meloloskan diri itu dipercayai sengaja direka susulan ada sekumpulan tahanan yang memilih untuk tidak melarikan diri.

“Kita tidak menolak kemungkinan pelbagai alasan sengaja diberikan oleh tahanan sebaik mereka ditahan semula untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di sini, hari ini.

Artikel berkaitan:

Mengulas lanjut Suresh Kumar berkata, pihaknya kini berusaha mengesan baki tahanan yang masih bebas dan percaya mereka tidak mampu bergerak jauh atas beberapa faktor.

“Mereka yang masih bebas ini terdiri daripada kanak-kanak, wanita selain tiada sumber makanan serta berkaki ayam,” katanya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, seramai 528 etnik Rohingya merusuh sebelum melarikan diri dari Depot Imigresen Sungai Bakap di Relau pada jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada tahanan tersebut maut selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran Jawi. – MalaysiaGazette