Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 21 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang jurufoto Polis Diraja Malaysia memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menerima arahan untuk mengambil gambar beberapa barang penting dalam kes penderaan remaja sindrom down, Bella.

Barang-barang berkenaan disebutkan oleh saksi kelima pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood ketika memberikan keterangan kepada mahkamah sebelum ini.

Antara barang yang disebutkan oleh Yasmin adalah batang penyodok, cawan Ikea, cawan Starbuck, tali rafia, kain pengikat mulut, cecair pelembut kain Downy dan Soflan.

Ada antara barang berkenaan didakwa digunakan oleh tertuduh iaitu Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali untuk mendera Bella.

Korporal Sadzlyee Sairen yang merupakan saksi ketujuh pihak pendakwaan berkata, beliau tidah mengambil gambar barang-barang berkenaan kerana tidak diarahkan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Suhaili Mahad.

Ketika disoal balas oleh peguambela tertuduh, Hafidzah Hassan, Sadzlyee turut memberitahu dia tidak mengambil gambar rel penyangkut langsir yang menjadi punca kemarahan Siti Bainun terhadap Bella.

Peguam: Korporal ambil gambar berdasarkan arahan?

Saksi: Betul.

Peguam: Saya cadangan, gambar diambil berdasarkan aduan-aduan pengadu?

Saksi: Betul.

Peguam: Saya cadangkan kalau tidak ada dalam laporan ataupun kenyataan pengadu sebab itulah tak perlu ambil gambar?

Saksi: Tidak pasti.

Peguam: Saya cadangkan kalau pengadu dipukul dengan sesuatu, gambar barang itu perlu diambil. Setuju?

Saksi: Setuju.

Peguam: Saya cadangkan masa pergi (ke lokasi jenayah) tuan tak ada ambil gambar cawan Ikea?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Tak ada ambil gambar cawan Starbuck?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Gambar batang penyodok?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Gambar railing langsir?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Tali rafia?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Tak ada gambar kain pengikat mulut?

Saksi: Tak ada.

Peguam: Gambar pelembut kain Downy dan Soflan?

Saksi: Tak ada.

Dalam pemeriksaan balas yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zahida Zakaria mengenai isu yang sama, saksi menegaskan dia hanya mengambil gambar yang diarahkan oleh pegawai penyiasat.

TPR: Tadi semasa disoal balas oleh peguam, peguam menyatakan, kalau pengadu dipukul oleh sesuatu kamu kena ambil gambar. Kamu bersetuju. Dalam kes ini kamu tahu siapa pengadu?

Saksi: Tak tahu.

TPR: Tadi kamu jawab setuju, ya, kalau pengadu katakan sesuatu kena ambil gambar. Boleh kamu jelaskan apa maksud kamu?

Saksi: Setuju kalau terima arahan daripada pengawai penyiasat.

Dalam penyataan saksinya, Sadzlyee memberitahu dia telah pergi mengambil gambar barang bukti kes pada tiga tarikh.

Pada 7 Julai 2021 beliau telah pergi ke Kondominium Irma Wangsa dan mengambil 35 gambar.

Pada 29 Julai 2021 beliau telah pergi ke Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah dan mengambil dua keping gambar.

Sementara pada 4 Mac 2022 beliau telah pergi ke Kondominium Irma Wangsa untuk mengambil gambar tempat kejadian, pemanas air dan mesin air Cuckoo.

Mahkmah turut mendengar keterangan saksi keenam iaitu Pegawai Penyiasatan Kanan Jenayah Siasatan Wanita dan Kanak-kanak ASP Nazatul Madiyah Manaf.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi itu turut diberitahu bahawa Yasmin yang masih belum tamat disoalbalas oleh peguambela tertuduh, walaupun hadir ke mahkamah, tidak dapat memberi keterangan kerana tidak sihat.

Kes akan bersambung semula pada 30 dan 31 Mei serta 13, 16, 17, 29 dan 30 Jun.

Pihak pendakwaan memberitahu lebih 20 saksi lagi akan dipanggil.- MalaysiaGazette