Judge Mohd Nazlan Mohd Ghazali 1MDB SRC International conflict of interest Najib Razak
Mohd Nazlan Mohd Ghazali

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis terhadap artikel yang disiarkan sebuah portal, semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd Nazlan menegaskan artikel bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ adalah palsu dan berniat jahat untuk menjatuhkan kredibilitinya.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh YA Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Hakim Mahkamah Rayuan menafikan tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman, dalam Artikel tersebut,” kata kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, Mohd Nazlan membuat laporan polis agar siasatan dijalankan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang berkaitan.

Katanya, siasatan segera perlu dijalankan demi memelihara keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman negara dan memastikan pentadbiran keadilan dapat
berjalan dengan baik.

“Pejabat ini memandang serius terhadap tuduhan dan komen seperti ini dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap Badan Kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu
pelanggaran prinsip sub judice,” ujarnya. – MalaysiaGazette