Seorang penyanyi sebuah kumpulan terkenal tanah air dibawa oleh pegawai polis selepas direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melibatkan kes keganasan rumah tangga ketika di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Penyanyi sebuah kumpulan terkenal tanah air direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melibatkan kes keganasan rumah tangga.

Peguamnya, Kailash Sharma berkata, perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Hairolazhar Mohd Ishak meskipun polis membuat permohonan reman bagi empat hari.

“Kemungkinan besar anak guam saya akan dituduh di mahkamah esok,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, penyanyi berusia 45 tahun itu dilihat memakai baju Melayu biru gelap dan dibawa ke Bilik Reman Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10.55 pagi.

Dia ditahan di kediamannya tengah hari semalam selepas dipercayai memukul bekas isterinya di Kota Damansara 19 April lalu.

Menurut kenyataan pihak polis semalam, ketika kejadian, mangsa mendakwa berada di kawasan parkir kediaman bekas suaminya itu kira-kira jam 2.29 petang untuk mengambil anak lelaki mereka daripada artis terbabit.

Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara mereka selepas mangsa menolak apabila diminta bergambar dengan suspek.

Ia menyebabkan suspek memarahi dan memukul badan mangsa hingga lebam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017, jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette