Wee Ka Siong pada sidang media hari ini.

PUTRAJAYA – Berkuatkuasa pada 5 Mei ini, Kementerian Pengangkutan membenarkan kepala lori (prime mover)  dan semi-treler diperluaskan kepada jenis luton/kotak dan kargo am dalam pelaksanaan polisi baharu.

Ia merupakan lanjutan daripada fasa pertama pada 1 September tahun lalu apabila kementerian itu membenarkan perkongsian kepala lori dan semi-treler untuk membawa kontena, dalam kumpulan syarikat yang sama.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, langkah ini membolehkan syarikat-syarikat logistik mengurangkan kos operasi.

Namun, katanya, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan iaitu melibatkan anak-anak syarikat di peringkat pertama sahaja  dengan pegangan ekuiti syarikat induk sekurang-kurangnya 51 peratus.

Selain itu, Berat Dalam Muatan (BDM) prime mover dan treler yang dibenarkan
untuk pertukaran (interchanging) adalah tertakluk kepada BDM semitreler atau Berat Gabungan Keseluruhan (BGK) penggerak utama, yang terendah di antara keduanya.

Tambah Ka Siong, penguatkuasaan ke atas kesalahan di bawah akta-akta yang terlibat
dengan perubahan polisi ini akan dikenakan ke atas prime mover sahaja.

Malah, pihak syarikat perlu mendapatkan Kelulusan Teknikal Kenderaan terlebih dahulu daripada JPJ sebelum boleh memajukan permohonan perkara ini kepada pihak APAD dan kebenaran ini hanya boleh digunakan untuk kenderaan dikategorikan di bawah jenis kenderaan yang sama sahaja.

”Contohnya sebuah prime mover yang telah didaftarkan untuk menarik semi-treler jenis kotak tidak boleh menarik semi treler jenis kargo am,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Manakala polisi untuk pendaftaran (Lesen A (selain kontena)) dikekalkan kepada
satu prime mover kepada 1 semi-treler dan prime mover dan semi-treler yang ingin dikongsi dalam kumpulan syarikat mestilah telah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (untuk permohonan di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, polisi baharu yang dilaksanakan oleh kementerian adalah berdasarkan semakan yang dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan peraturan sedia ada selari dengan perkembangan industri dan menyumbang kepada peningkatan
kecekapannya.

Semakan ini dilaksanakan melalui Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) dan selaras dengan peruntukan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan. – MalaysiaGazette