GEORGE TOWN – Gara-gara gagal membayar tunggakan gaji, seorang lelaki bertindak menyerang bekas majikannya menggunakan kapak dan pisau lipat dalam kejadian di Jalan Penang, di sini, hari ini.
Kejadian jam 9.50 pagi itu mengakibatkan mangsa yang juga pemilik kedai gambar berusia 67 tahun mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 48 tahun itu dikatakan menuntut tunggakan gaji RM1,700 yang dijanjikan majikannya selepas dia berhenti kerja pada 12 April lalu.
“Tidak berpuas hati dengan majikannya, suspek bertindak menyerang mangsa dengan menggunakan kapak dan pisau lipat.
“Tiada kecederaan serius dilaporkan dan mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tambah beliau, suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette