Dr Ghazali Omar menerima peralatan makmal dari wakil Keysight Technologies.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjadi pilihan pihak industri multinasional bertaraf dunia Keysight Technologies meneguhkan hubungan dan perkongsian kepakaran universiti dan industri secara berterusan.

Syarikat pengeluar peralatan pengukuran frekuensi radio dan gelombang mikro berteknologi tinggi berpengkalan di Amerika Syarikat ini telah menjalinkan kerjasama industri bersama UTeM sejak tahun 2018 lagi dan turut bersama dalam penyelidikan 5G di UTeM.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM amat menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh pihak Keysight Technlogies dan hubungan strategik ini terus menjana hasil yang  menguntungkan kedua-dua pihak.

Jelasnya, sebagai sebuah universiti awam teknikal berprestij, UTeM terus menyumbangkan khidmat kepakaran dalam konteks penyelidikan dan berkaitan kepada pihak industri dan begitu juga sebaliknya bagi pihak industri.

Katanya, terbaru pihak Keysight Technologies telah menyumbangkan empat unit peralatan makmal Smart Bench Essential bernilai RM 12,709.00 kepada UTeM yang terdiri daripada EDUC1052G InfiniiVision 1000 X-Series Oscilloscope with WaveGen, EDU33212A Waveform Generator, EDU36311A DC Power Supply dan EDU34450A Digital Multimeter.

”Terdahulu, Keysight Technologies turut telah menyumbang peralatan Power Analyzer berharga RM80,000 pada tahun 2018 bagi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) menjalankan program Pensijilan Kompetensi UTeM-Keysight RF and Microwave Student Industry-Ready Certification bermula tahun 2019 sehingga sekarang.

”Sumbangan peralatan penyelidikan ini juga adalah indikasi kepada kepercayaan mereka terhadap kualiti penyelidikan dan pengajaran yang ada di Makmal Penyelidikan Gelombang Mikro FKEKK,” katanya. – MalaysiaGazette