MELAKA – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke bazar Ramadan Peringgit, di sini, hari ini.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke bazar berkenaan pada jam 4.40 petang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan puteri baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Ab Rahman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sera barisan Exco kerajaan negeri.

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menjadi tumpuan pengunjung serta orang ramai yang hadir ke bazar berkenaan.

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itu juga menjadi tumpuan pengunjung serta orang ramai yang hadir ke bazar Ramadan Peringgit

Dalam kunjungan selama satu jam itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa selain beramah mesra bersama peniaga.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam menggunakan pesawat khas kira-kira jam 11.25 pagi bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka.

Seri Paduka berdua selepas ini dijadualkan berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Pada keesokan hari, baginda berdua dijadualkan berkenan hadir ke majlis menghadap ahli-ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). – MalaysiaGazette