Pengarah Teknikal sebuah syarikat dan seorang Penjawat Awam ditahan bersubahat dalam mengemumkakan invois mengandungi butiran palsu kepada sekolah direman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 22 APRIL 2022.

SHAH ALAM – Pengarah teknikal sebuah syarikat elektrikal dan guru besar sebuah sekolah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung  dakwaan mengemukakan invois yang mempunyai butiran palsu berjumlah RM83,335.

Majistret, Nur Faizah Abdul Sani membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Sesyen 3 di sini hari ini.

Kedua-dua individu tersebut ditahan reman bermula hari ini hingga Isnin depan.

SPRM membuat permohonan reman berkenaan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, invois yang dikemukakan oleh kedua-dua individu berkenaan pada Ogos 2020 tuntutan bayaran kerja pendawaian yang tidak dilaksanakan daripada sebuah sekolah.

Guru besar berkenaan yang berusia 55 tahun dikatakan melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan.

Manakala pengarah teknikal syarikat elektrikal berkenaan pula berusia 47 tahun. – MalaysiaGazette