Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mahu supaya duti import terhadap gam nikotin gum diturunkan atau dikecualikan sebagai menyokong usaha membantu penduduk negara ini yang mahu berhenti merokok.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada syarikat farmasi tempatan yang rata-rata mahu duti import gam nikotin itu dimansuhkan.

Menurut beliau, pihaknya akan bertemu dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Perbendaharaan bagi membincangkan isu berkenaan.

“Saya akan bangkitkan isu ini kerana kami melihat duti import terhadap gam nikotin perlu diturunkan atau dikecualikan.

“Gam nikotin adalah benda yang baik untuk kita bantu perokok berhenti merokok,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program mQUIT Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Difahamkan, perintah duti kastam yang berkuatkuasa pada 1 Jun depan akan mengenakan duti import sebanyak 15 peratus per kilo ke atas gam nikotin yang di bawa masuk ke negara ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM akan memperhebatkan kempen berhenti merokok menerusi program mQUIT selain menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam.

Jelasnya, KKM juga akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa supaya isu rokok seludup dapat ditangani.

“Tidak guna kita buat undang-undang tapi masih ada pasaran gelap dan kita akan benteras habis habisan rokok seludup,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, sejak awal Januari hingga 15 Mac lalu, sebanyak 28,835 premis diperiksa menerusi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam.

“Kami turut menerima 2,981 aduan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai aktiviti merokok di kawasan awam sepanjang tempoh sama.

“Setakat 6 April lalu, KKM mengeluarkan 13,437 notis kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 atas kesalahan merokok di kawasan larangan dan merokok di bawah umur,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata, sejak dilancarkan 8 April lalu, 41 perokok sudah mendaftarkan diri menerusi Program mQUIT Masjid. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast