Aedy menunjukkan tatacara e-Aduan untuk orang awam memaklumkan kesalahan pengguna jalan raya.

JURU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika pulang beraya bagi mengelak dikompaun serta dihadapkan ke mahkamah.

Ia susulan orang awam akan menjadi ‘mata-mata’ kepada jabatan tersebut dengan menyalurkan maklumat berhubung kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, maklumat kesalahan pengguna jalan raya tersebut boleh disalurkan menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ yang boleh dimuat turun melalui Play Store.

Aedy (tengah).

Jelas beliau, selain 2,200 pegawai dan anggota melakukan pemantauan di lapangan, maklumat daripada e-Aduan itu turut akan membantu jabatannya mengesan pengguna jalan raya yang sengaja melanggar peraturan ditetapkan.

Kata Aedy, orang awam diminta merakamkan gambar atau video ketika kejadian bersama maklumat ringkas agar tindakan boleh diambil terhadap pengguna tersebut.

“Kita percaya ada pengguna jalan raya akan bertindak memotong barisan atau memandu di lorong kecemasan sekiranya keadaan jalan raya sesak ketika musim perayaan Aidilfitri nanti.

“Berdasarkan aduan tersebut kita akan mengambil tindakan dalam tempoh 48 hingga 72 jam terhadap pengguna jalan raya itu.

“Jadi kita harap pengguna jalan raya lebih peka dengan pemanduan mereka ketika pulang beraya nanti kerana ramai ‘mata-mata’ JPJ di luar sana,” katanya selepas meninjau Ops Khas Bersepadu di Plaza Top Juru arah selatan di sini malam tadi.

Aedy (tengah) bersama Adenan ketika meninjau Ops Khas Bersepadu di Plaza Tol Juru, Pulau Pinang malam tadi.

Operasi bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut, Aedy berkata, pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota di 15 lokasi panas seluruh negara bagi memastikan pengguna mengikut peraturan jalan raya sekali gus mengelakkan berlakunya kesesakan termasuk kemalangan.

“Kita tempatkan di lokasi yang dikenal pasti pengguna akan melakukan kesalahan antaranya di Jambatan Pulau Pinang, susur-susur keluar masuk lebuh raya,” kata beliau.

Pada Isnin lalu, Kementerian Pengangkutan menggerakkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri secara serentak di semua peringkat, bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selaras itu, semua agensi, jabatan dan pihak swasta dan berkepentingan akan terbabit dalam aktiviti advokasi dan pendidikan dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

“Terdapat lima kesalahan lalu lintas utama sering dilakukan terutama sekali menjelang perayaan iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan.

“Kesemua kesalahan ini tidak dibenarkan untuk dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah,” tegas beliau. – MalaysiaGazette