Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Mohammad Shakib Ali di Istana Flinstones di Mersing, Johor.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu prosedur operasi standard (SOP) aktiviti selam skuba di Mersing diperketatkan dengan menitikberatkan pelbagai aspek sebelum ia dikuatkuasakan.

Baginda bertitah, penguatkuasaan SOP itu perlu meliputi lesen menyelam yang sah, rekod penyelenggaraan peralatan, rekod laporan terkini perubatan penyelam, insurans serta buku catatan rekod penyelam yang dikemaskini.

“Saya meneliti dan memperhalusi setiap SOP berkaitan aktiviti selam skuba yang disediakan Pejabat Daerah Mersing serta Majlis Daerah Mersing bersama beberapa jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

“Saya juga telah bertitah beberapa perkara penting berkaitan aktiviti selam skuba dan turut menitahkan kepada Pegawai Daerah Mersing supaya turut melibatkan sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Persatuan Selam Skuba Malaysia,” titah baginda menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Sultan Ibrahim menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga kajian semula seluruh SOP keselamatan aktiviti menyelam di daerah berkenaan selesai.

Ia dilakukan berikutan kehilangan empat penyelam wangsa asing di Pulau Tokong Sanggol, Mersing pada 6 April lalu.

Bagaimanapun tiga penyelam itu ditemui selamat dalam operasi mencari dan menyelamat manakala seorang lagi yang dihanyutkan ke perairan Indonesia masih tidak ditemui.

Mangsa warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, disahkan meninggal dunia oleh bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, warga Britain yang turut terbabit insiden berkenaan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Mohammad Shakib Ali di Istana Flinstones, Mersing pada hari ini.

Pada pertemuan itu, Mohammad Shakib mempersembahkan kepada baginda SOP aktiviti selam skuba dan ‘Island Hopping’ di Mersing.

Mohammad Shakib berkata, Sultan Johor turut  berkenan untuk mempengerusikan mesyuarat bersama wakil jabatan, agensi penguatkuasaan serta persatuan selam skuba dalam masa terdekat dalam memperhalusi setiap SOP sebelum dikuatkuasakan. -MalaysiaGazette