Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran kecil pada minggu depan antara 1,590 dan 1,610 dalam persekitaran kekurangan pemangkin utama untuk mempengaruhi minat pelabur untuk mengambil risiko.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, pasaran dijangka menyaksikan aktiviti belian saham pada harga rendah berikutan FBM KLCI hampir mencecah paras sokongan pada 1,600 pada Jumaat.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,590-1,610 pada minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,580 dan paras halangan pada 1,620,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengunjurkan FBM KLCI akan berada pada sekitar 1,600 mata pada minggu depan berikutan data Indeks Harga Pengguna yang terkini menunjukkan inflasi kekal stabil pada 2.2 peratus untuk dua bulan berturut-turut (Februari dan Mac) berbanding 2.3 peratus pada Januari.

Beliau berkata, berdasarkan kerajaan terus mengekalkan subsidi minyak, kadar inflasi dijangka terus terkawal.

“Bagi Bank Negara Malaysia, akomodasi dasar monetari boleh dikekalkan berikutan inflasi terus stabil.

“Dalam kata lain, sokongan dasar daripada kerajaan dan bank pusat akan menjadi faktor asas utama untuk pertumbuhan. Bagaimanapun, faktor luaran seperti Rizab Persekutuan AS, perang di Ukraine dan gangguan rantaian bekalan akan mewujudkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur,” katanya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.96 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,601.97 daripada 1,589.01 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 menambah 66.65 mata kepada 11,127.99, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 41.63 mata kepada 12,089.20 dan Indeks FBM Emas naik 70.36 mata kepada 11,484.06.

Sementara itu, FBM ACE merosot 61.14 mata kepada 5,725.36 dan FBM 70 berkurangan 12.76 mata kepada 13,768.59.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 242.60 mata kepada 8,597.87, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.28 mata kepada 214.75 dan Indeks Tenaga menambah 16.24 mata kepada 767.51.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 212.20 mata kepada 16,848.20, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 7.23 mata kepada 2,080.22 dan Indeks Teknologi berkurangan 0.61 mata kepada 71.83.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 11.04 bilion unit bernilai RM8.26 bilion daripada 17.33 bilion unit bernilai RM10.46 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 6.33 bilion saham bernilai RM7.37 bilion daripada 11.55 bilion saham bernilai RM9.33 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.04 bilion unit bernilai RM160.21 juta daripada 1.46 bilion unit bernilai RM236.16 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 2.66 bilion saham bernilai RM729.55 juta daripada 4.30 bilion saham bernilai RM889.94 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast