Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Pejabat Parlimen Indera Mahkota akan menubuhkan Unit Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan parlimen ini bermula Mei ini bagi membantu golongan istimewa itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif bagi pengumpulan data yang tepat dan dikemaskini dalam membantu OKU di Pahang.

“Unit tersebut akan diterajui oleh jurubahasa bertauliah, Nazrul Azwa Zulkifli dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekolah, JKKK dan KRT,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan bantuan kepada 50 komuniti OKU di Kuantan.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, Skim Sukarelawan Pengamal Bahasa Isyarat juga akan dilaksanakan bagi memudahkan komunikasi dua hala antara masyarakat dengan mereka yang bisu serta pekak.

“Bermula Mei, kita akan memulakan kumpulan sukarelawan pengamal bahasa isyarat bagi lebih memahami keperlukan golongan pekak dan bisu,” katanya sambil menambah usaha itu memudahkan golongan tersebut berurusan.

“Pengamal bahasa isyarat boleh membantu menguruskan kes kecemasan seperti mereka yang hendak berhubung dengan pihak hospital atau agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Jabatan Pendaftaran,” katanya. – MalaysiaGazette