Rohingya detainees Immigration depot escapees riot
Tiga etnik Rohingya berjaya dikesan sebelum dibawa balik ke Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap.

NEGARA tergempar sekali lagi dengan kes pelarian etnik Rohingya yang lolos daripada tahanan Jabatan Imigresen Malaysia pada 20 April 2022 yang lalu. Umum mengetahui bahawa pelarian tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Walaupun di dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) ada menyebut perkataan ‘pelarian’, namun ia tidak mencerminkan pendirian kerajaan untuk mengiktiraf golongan tersebut. Ianya adalah mekanisma kerajaan untuk memastikan golongan pelarian ditadbir dan diurus dengan baik.

DKN, pada fasal 4.1.3 menjelaskan hal ini iaitu “Keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang pesat turut menjadi faktor penarik kepada kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan ‘pelarian’. Kehadiran PATI dan ‘pelarian’ ini selain dari memberi implikasi sosial, ekonomi, jenayah, politik dan hubungan diplomasi, ia juga berupaya untuk mengancam ketenteraman dan keselamatan negara.” Kedatangan golongan pelarian ini perlu ditadbir dengan baik dan tersususn kerana impaknya kepada imej negara boleh mencapai sehingga ke peringkat antarabangsa. Dengan jumlah yang ramai berada di kem-kem tahanan, kerajaan mungkin perlu menyemak semula proses pengurusan dan pentadbiran golongan pelarian yang berada di kem-kem tahanan.

Kesesakan di depot tahanan

Berdasarkan kepada Penyata Rasmi Parlimen Malaysia, Kamar Khas yang bersidang pada 18 November 2020, statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 13 November 2020 menunjukkan terdapat seramai 13,103 orang tahanan di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara berbanding kapasiti depot iaitu seramai 12,530 tahanan pada satu-satu masa.Daripada jumlah tersebut, tahanan PATI etnik Rohingya di Depot Tahanan Imigresen adalah seramai 1,955 orang. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat kesesakan yang serius di kem-kem tahanan yang dikendalikan oleh pihak JIM.

Berdasarkan kepada kajian penulis, terdapat isu pelarian telah berada begitu lama di depot-depot tahanan ini sehingga ada yang telah melebihi jangka masa selama 1 tahun. Ini menyebabkan jumlah penghuni semakin meningkat dari hari ke hari. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan beban kepada pihak JIM untuk menguruskan depot-depot tahanan dari aspek sumber manusia dan sumber kewangan. Perlu diingatkan, pihak JIM juga ada tanggungjawab penguatkuasaan di sempadan-sempadan negara. Bagi negari-negeri yang mempunyai kem tahanan seperti di Juru, Langkap, Semenyih, KLIA, Lenggeng, Machap Umboo, Pekan Nenas, Ajil dan Tanah Merah sudah tentutnya pihak JIM perlu berhadapan dengan isu bebanan dan tanggunjawab yang lebih.

Tingkatkan sistem pengurusan depot tahanan

Menyedari akan masalah pelarian ini sudah berlarutan begitu lama dan solusinya masih lagi samar-samar, mungkin tindakan yang wajar adalah dengan mengukuhkan sistem pengurusan depot tahanan. Hal ini bukan sahaja melibatkan punca kuasa misalnya siapa yang perlu menguruskannya, tetapi perlu melakukan rombakan secara keseluruhan ke atas sistem pengurusan depot tahanan. Kajian yang lengkap perlu dilakukan untuk memastkan kesemua faktor diambil kira umpamanya sistem kawalan keselamatan.

Adakah depot tahanan mempunyai sistem yang terkini dan moden, adakah tenaga kerja mencukupi, adakah fasiliti dan infrastruktur mencukupi. Maka, ia perlu dilihat dari perspektif yang menyeluruh. Selain itu, sistem pendaftaran di depot-depot tahanan juga boleh dijadikan subjek untuk diteliti. Apakah depot-depot tahanan mempunyai ‘software’ dan ‘hardware’ yang sesuai untuk proses pendaftaran secara digitilisasi dilaksanakan.

Tidak dinafikan pihak kerajaan telah berusaha ke arah digitilisasi melalui Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian, TRIS untuk memudahkan pendaftaran dan pengesanan pelarian. Maka, usaha ini boleh dijadikan sebagai asas bagi meningkatkan lagi sistem pengurusan di depot-depot tahanan di seluruh negara. Selanjutnya, terdapat cadangan untuk memindahkan depot-depot tahanan yang ketika ini dikendalikan oleh pihak JIM kepada pihak PDRM atau Jabatan Penjara Malaysia.

Penulis secara peribadi melihat cadangan ini adalah baik namun jika keadaan semasa berkaitan sumber manusia, sumber kewangan, infrastruktur, sistem dan faktor-faktor lain tidak diperbaiki, masalah akan tetap berlaku pada hari yang mendatang. Perlu diteliti semula secara lebih spesifik keperluan untuk memantapkan sistem kawalan depot-depot tahanan. Penglibatan pelbagai pihak untuk duduk berunding sebolehnya dilakukan dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih komprehensif serta holistik dengan melihat kepada pelbagai aspek misalnya tanggungjawab pihak berkuasa, UNHCR, swasta, pertubuhan sivil dan masyarakat secara umumnya.

Akhirnya, isu ini adalah sangat penting untuk diteliti kerana ianya melibatkan keselamatan awam. Dengan situasi semasa iaitu jumlah pelarian yang semakin meningkat, usaha untuk memastikan sistem kawalan dan pengurusan ke atas depot tahanan perlu menjadi tumpuan segera dan diberikan perhatian khusus oleh pihak kerajaan. Jika tidak ditangani dengan serius, dibimbangi akan memberi impak negatif kepada kedaulatan negara.

Mohd Ramlan Mohd Arshad, pengkaji PhD di UUM
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentabiran dan Pengajian Polisi,
UiTM Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast