Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar melancarkan gimik pada Majlis Pelancaran Buku Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 di Lalaport Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberikan potongan cukai pendapatan selama tiga tahun kepada perusahaan sosial yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan seperti orang kelainan upaya, bekas banduan, bekas penagih dadah dan gelandangan.

Menteri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, pengecualian cukai pendapatan juga akan diberikan kepada syarikat yang mementingkan alam sekitar.

Selain itu melalui Rangka Tindakan Keusahanan Sosial Malaysia (SEMy) 2030 potongan cukai yang sama juga akan diberikan kepada mereka yang memberikan bantuan kepada projek yang diusahakan oleh perusahaan sosial.

“Walaupun kerajaan telah menubuhkan berbagai-bagai kemudahan, berbagai agensi untuk menolong golongan tertentu seperti OKU, kumpulan berpendapatan rendah B40, ibu tunggal, bekas-bekas penagih dadah, orang asli dan lain-lain lagi.

“Namun demikian kita melihat bahawa kita masih memerlukan sokongan daripada pihak keusahawan swasta untuk mereka  terlibat sama bagi memberi pembelaan kepada golongan yang memerlukan.

“Bukan sahaja bantuan kepada manusia, tetapi juga alam sekitar. Walaupun kita ada kementerian yang menjaga alam sekitar ada badan bukan kerajaan namun demikian komitmen daripada syarikat-syarikat ini juga diperlukan,” kata Noh semasa  sidang media.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai jualan ketika meghadiri Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 di Lalaport Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

SEMy 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melibatkan lima pemboleh daya, lima teras strategik dan 20 strategi yang sejajar aspirasi, strategi dan inisiatif ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Antara lain membantu syarikat terbabit meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.

SEMy 2030 mensasarkan peningkatan jumlah perusahaan yang berdaftar daripada 414 ketika ini kepada 10,000 pada 2030.

Selain itu jumlah pekerja juga akan ditingkatkan daripada 3,900 orang sekarang kepada 95,000 tenaga kerja pada 2030.

“Sekarang ini nilai perolehan perusahaan sosial yang berdaftar adalah sebanyak RM100 juta.

“Menjelang tahun 2030 sasaran kita adalah sebanyak RM2.6 bilion,” kata Noh.

SEMy2030 melibatkan dua fasa pelaksanaan iaitu dari 2021 hingga 2025 yang bermatlamatkan untuk mengukuhkan ekosistem keusahawanan sosial.

Fasa kedua pula bermula dari 2026 hingga 2030 dengan objektif mengarus perdana perusahaan sosial.

Perusahaan sosial yang berminat boleh membuat pendaftaran di laman sesawang Kementerian Pembangunan Usahawan dan Korperasi.-MalaysiaGazette