Dua daripada lima bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara telah dihalang dan diusir anggota TLDM semalam.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memintas dan menghalang lima bot nelayan asing yang dipercayai menceroboh perairan negara.

Kapal KD Mahawangsa yang dalam tugas Op Benteng Laut segera ke tempat bot nelayan asing terbabit untuk menghalang pencerobohan mereka bagi tujuan mengaut hasil laut negara secara tidak sah.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM Perak, kejadian itu dikesan berlaku pada jam 3.50 petang semalam di perairan Pulau Perak.

“Bertindak menerusi maklumat Maritime Component Commander (MCC) Barat, KD Mahawangsa yang dalam penugasan Op Benteng Laut telah bergerak ke posisi pengesanan bagi mengesahkan keberadaan bot nelayan asing yang dilaporkan itu.

“Siasatan lanjut mengesahkan terdapat lima bot nelayan asing berada di lokasi dinyatakan dan sedang melakukan cubaan memasuki perairan negara.

“Hasil kecekapan dan koordinasi tindakan pantas KD Mahawangsa, berjaya memintas dan melakukan tindakan pengusiran semua bot nelayan asing itu keluar dari perairan negara,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, terdahulu, pesawat B200T (RMF 380) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan keberadaan lima bot terbabit dinyatakan di posisi 44 batu nautika Tenggara Pulau Perak.

Maklumat pengesanan kemudian disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut.

Katanya, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh semua agensi terlibat akan memastikan setiap tindakan menceroboh akan sentiasa dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” kata kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette