Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh menyalurkan aduan berkaitan pemandu yang melanggar peraturan jalan raya secara lebih mudah dengan memuat turun aplikasi e-Aduan@JPJ.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, melalui aplikasi itu, orang ramai hanya perlu memuat naik gambar atau video kesalahan jalan raya yang berlaku di depan mata mereka selain lokasi dan waktu kesalahan.

“Orang ramai terlebih dahulu perlu dapatkan id awam di laman sesawang jpj.gov.my untuk mendaftar di aplikasi berkenaan. Orang ramai juga perlu mengaktifkan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan pengesanan lokasi.

“Aduan yang dibuat perlu dilengkap dengan waktu, tempat, video dan gambar untuk memudahkan siasatan dijalankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lokman berkata, JPJ akan melaksanakan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Katanya, Ops HRA 2022 akan dilaksana melalui pendekatan advokasi dan penguatkuasaan dengan objektif utama memastikan persekitaran jalan raya sentiasa selamat dan seterusnya menurunkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast