Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengingatkan segelintir pemimpin politik supaya lebih fokus dalam amalan buruh paksa.

Malah agak menggangu sekiranya ada pemimpin yang cuba mengalihkan pandangan untuk isu-isu politik bagi kepentingan peribadi.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, situasi buruh paksa di Malaysia sebenarnya agak berbeza dan juga kompleks jika dibandingkan negara lain ketika ini.

“Sejak beberapa hari ini, ada juga nampak di laman sosial bagaimana dari fokus isu buruh paksa akhirnya segala macam perkara lain termasuklah tuding jari dan saling sindir menyindir.

“Sebenarnya isu buruh paksa di negara ini bukanlah sesuatu yang anda boleh pandang secara mudah atau boleh dipolitikkan. Saya sendiri tergerak untuk bercakap kerana MHO sentiasa melakukan kajian di lapangan.

“Kebanyakan kes buruh paksa di Malaysia melibatkan warga asing, hakikatnya mereka bukanlah dipaksa secara fizikal menggunakan kekerasan atau pun dikurung sebaliknya dipaksa secara mental.

“Mengapa ini berlaku? Ini kerana hampir kebanyakan mereka memiliki permasalahan daripada segi dokumen sehingga menyukarkan mereka tinggal dan kerja di sini sehingga menyebabkan majikan serta ejen mengambil kesempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mendedahkan negara ini komited menyelesaikan isu buruh paksa namun dan telah memaklumkan permintaan itu kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia.

Bagaimanapun susulan daripada kenyataan itu, mantan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy menyerangnya dalam isu terbabit.

Kata Hishamuddin, ada banyak kes yang diterima MHO yang mana ia diadu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) namun ianya ditolak kerana tiada permit kerja.

“Ada majikan dan ejen gunakan isu ini juga untuk tidak membayar gaji mereka manaka JTK pula menolak aduan mereka.

“Jika mereka buat laporan,  polis akan kategorikan aduan mereka sebagai tiada tindakan kerana majikan tidak bayar gaji bukan satu kes jenayah.

“Jadi, mana hala tuju mereka jika mahu mengadu? Mereka tiada pilihan sebaliknya terpaksa teruskan pekerjaan dalam keadaan paksaan berikutan masalah dokumen.

“Tiada agensi yang berminat menyelesaikan masalah mereka kerana mereka tiada dokumen,” tegasnya.

Jelas Hishamuddin lagi, kerajaan perlu fokus dan juga mengadakan perbicangan dengan semua pihak berwajib bagi menyelesaikan perkara yang timbul.

“Memang bukan mudah tapi janganlah berpolitik seperti ini dalam perkara seperti ini. Yang kita perlukan adalah penyelesaian bukanlah sekadar debat atau kenyataan.

“Kasihan golongan ini, kasihanilah mereka,” ujarnya. -MalaysiaGazette