Superintendan Zaiham Mohd Kahar

KUANTAN – Polis mengeluarkan sebanyak 28 keping saman dan menahan lima individu kerana melakukan kesalahan trafik dengan kesalahan cuba menduga had kelajuan dalam Ops Samseng di Bentong hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kelima-lima suspek ditahan merupakan warganegara tempatan berusia lingkungan 16 hingga 33 tahun.

“Polis menahan lima pesalah trafik yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan hari ini bermula pukul 1.30 pagi sehingga 4 pagi tadi.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan menduga kelajuan di atas jalan raya yang disiasat di bawah Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”  katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zaiham, kesalahan tersebut merupakan sekatan ke atas pertandingan dan ujian kelajuan di mana sekiranya mana-mana orang yang mengambil bahagian atau mana-mana pemandu atau orang yang menjaga sesuatu kenderaan yang digunakan dalam apa-apa pertandingan atau ujian kelajuan yang tidak diluluskan.

Ianya melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM2, 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jelas Zaiham, operasi berkenaan dijalankan bagi mencegah samseng jalanan.

“Walaupun operasi dan penguatkuasaan sering dijalankan, namun masih ada segelintir penunggang motosikal yang melakukan kesalahan terutamanya kesalahan berlumba motosikal,” katanya.

Zaiham berkata, pihaknya memandang serius isu penunggang motosikal yang melakukan kesalahan dan tidak akan berkompromi dengan pesalah trafik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast